fb fb fb fb fb

Wanita saman L'Oreal, dakwa produknya punca kanser rahim

(Foto Hiasan)

WASHINGTON, 22 Oktober- Seorang wanita Amerika yang menghidap kanser rahim mengemukakan saman kepada L'Oreal USA selepas mendakwa penyakitnya berpunca daripada menggunakan produk syarikat itu.

Wanita itu, Jenny Mitchell, berkata dalam tuntutan sivil bahawa dia telah menggunakan produk itu selama lebih dua dekad, kemudian diserang kanser rahim yang memaksanya menjalani histerektomi penuh.

Saman itu dibuat hanya beberapa hari selepas penerbitan kajian dalam Journal of the National Cancer Institute yang mewujudkan hubungan antara penggunaan produk pelurus rambut kimia dan kanser rahim.

Kajian mendapati bahawa wanita yang menggunakan produk lebih daripada empat kali setahun adalah dua kali lebih berkemungkinan mendapat kanser rahim berbanding mereka yang tidak menggunakan produk tersebut.

Kanser rahim agak jarang berlaku, tetapi kes seumpama semakin meningkat di Amerika Syarikat, terutamanya di kalangan wanita kulit hitam.

"Wanita kulit hitam telah lama menjadi mangsa produk berbahaya yang dipasarkan khusus kepada mereka," kata Ben Crump, peguam peribadi Mitchell, dalam satu kenyataan.

Tuntutan sivil hari Jumaat menuntut ganti rugi daripada L'Oreal cawangan AS, gergasi kosmetik Perancis, antara syarikat lain.

"Kami berasa kes tragis Cik Mitchell adalah salah satu daripada banyak kes di mana syarikat secara agresif mengelirukan wanita kulit hitam untuk meningkatkan keuntungan mereka," kata Crump.

L'Oreal bagaimanapun belum mengemukakan respon kepada tindakan saman itu. - AFP


(Foto Hiasan)

Media Baharu