fb fb fb fb fb

Helikopter terhempas di sempadan China, lima tentera India maut

(Foto Hiasan)

NEW DELHI, 22 Oktober- Lima tentera India terbunuh apabila helikopter yang dinaiki terhempas berhampiran sempadan negara dengan China pada Sabtu.

Menurut Kementerian Pertahanan, ia merupakan kemalangan maut kedua seumpama itu di wilayah itu bulan ini.

Helikopter Advance Light itu berlepas pada Jumaat di selatan Tuting, sebuah bandar terpencil berhampiran Garisan Kawalan Sebenar yang membahagikan negeri Arunachal Pradesh di timur laut India dari wilayah China.

Pengawal trafik udara menerima panggilan kecemasan 'mayday' sebelum nahas.

Nahas dipercayai berpunca daripada kegagalan teknikal atau mekanikal, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Empat mayat telah ditemui dan anggota penyelamat sedang berusaha untuk mencari penumpang kelima dan terakhir helikopter itu, kata kenyataan tersebut.

"Tentera India mengucapkan takziah dan berdiri teguh bersama keluarga yang berduka," tambahnya.

Kemalangan itu berlaku beberapa minggu selepas seorang juruterbang tentera India terbunuh ketika dalam penerbangan rutin menaiki helikopter Cheetah di Tawang, lebih jauh ke timur di negeri itu.

China dan India berperang secara besar-besaran pada tahun 1962 ke atas kawalan Arunachal Pradesh, yang dituntut oleh Beijing dan menganggap ia sebahagian daripada Tibet.

Ketegangan memuncak antara negara sejak pertempuran sempadan Himalaya pada 2020 yang menyebabkan 20 tentera India dan sekurang-kurangnya empat tentera China terbunuh. - AFP


(Tangkap layar video menunjukkan asap berkepul dari helikopter yang terhempas / TWITTER)

Media Baharu