fb fb fb fb fb

Dakwa peguam gagal, El Chapo minta dibebaskan atau dibicara semula

(Joaquin "El Chapo" Guzman (KIRI) diiringi oleh askar di lapangan terbang
tentera laut di Mexico City pada 22 Februari 2014 / REUTERS)

NEW YORK, 22 Oktober- Raja dadah Mexico yang disabitkan, Joaquin "El Chapo" Guzman meminta mahkamah persekutuan AS untuk menolak sabitan kesalahannya pada 2019 kerana mengedar dadah dan pengubahan wang haram atau memerintahkan perbicaraan baharu.

Menerusi satu dokumen mahkamah, yang ditandatangani oleh Guzman pada 6 September dan didedahkan kepada umum melalui mahkamah minggu ini, raja Mexico itu berkata dia telah diberikan "bantuan tidak berkesan" oleh peguamnya dalam perbicaraan lalu.

Dia meminta mahkamah untuk "sama ada menolak dakwaan, memerintahkan perbicaraan, atau menjadualkan pendengaran keterangan."

Guzman, yang pernah mengetuai kartel Sinaloa, sindiket pengedaran dadah terbesar di dunia, kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara Colorado.

Menerusi peguamnya, Guzman berhujah di hadapan mahkamah bahawa peguam terdahulu gagal mencapai rundingan pengakuan dan membantah usul kerajaan berhubung apa yang mereka katakan sebagai maklumat sulit.

"Kesan kumulatif daripada kesilapan ini telah melucutkan (Guzman) daripada perbicaraan yang adil," kata usul itu.

Dokumen mahkamah itu juga menghujahkan penyelewengan dalam ekstradisinya dari Mexico pada 2017, mengatakan bahawa permintaan ekstradisi AS menetapkan bahawa dia dibicarakan di Texas atau California, bukan Brooklyn.

Guzman telah merayu sebelum ini untuk perbicaraan baharu.

Mahkamah rayuan AS pada 25 Januari mengekalkan sabitan Guzman, menafikan dakwaan salah laku juri dalam perbicaraan awalnya.

Peguamnya berkata bahawa seorang juri tanpa nama tidak mengendahkan arahan hakim untuk mengabaikan liputan media mengenai perbicaraan itu.

Mahkamah rayuan mengesahkan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan ke atas Guzman di mahkamah persekutuan di Brooklyn selepas perbicaraan selama tiga bulan.

Guzman, yang dipenjarakan di ADX Florence, penjara dengan keselamatan maksimum di Colorado, telah disabitkan pada Februari 2019 kerana mengedar kokain, heroin dan ganja semasa penguasaan selama beberapa dekad sebagai raja dadah. - AFP


(Raja dadah yang ditangkap semula Joaquin "El Chapo" Guzman diiringi oleh askar di hangar

milik pejabat Peguam Negara di Mexico City, Mexico 8 Januari 2016 / REUTERS)

Media Baharu