fb fb fb fb fb

Vietnam hentikan siaran TV kerajaan

FOTO FAIL/ REUTERS

Hanoi, 15 Januari - Salah satu penyiar televisyen terbesar milik kerajaan di Vietnam menghentikan siarannya pada Rabu sebagai sebahagian daripada reformasi birokrasi besar-besaran.

Tindakan itu akan mengurangkan 20 peratus tenaga kerja awam di seluruh negara dan bertujuan menyusun semula sistem politik untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan menjimatkan perbelanjaan.

Reformasi itu akan melibatkan pemotongan lapan kementerian dan agensi kerajaan serta penyusunan semula beberapa organisasi media secara radikal, yang digambarkan sebagai "satu revolusi" oleh pegawai kanan.

Pada Rabu, VTC stesen TV kedua paling popular di Vietnam menghentikan siarannya dengan 13 saluran terakhirnya bersiaran buat kali terakhir pada Selasa.

Nasib 800 pekerja VTC masih belum jelas.

Dalam mesej perpisahan, pengacara VTC menyatakan bahawa stesen itu telah "sampai ke penghujung misinya selama 20 tahun untuk berkhidmat kepada masyarakat".

Selain VTC, empat penyiar lain VOVTV, VNATV, Quoc Hoi TV dan Nhan Dan TV juga terpaksa ditutup.

Sementara itu VTV, penyiar terbesar dan paling banyak ditonton di negara itu, telah diberi tugas untuk "mengambil alih fungsi dan tanggungjawab" stesen-stesen ini, menurut kerajaan.

Semua media di Vietnam dikawal kerajaan dengan pelbagai tahap kawalan dan tiada agensi media domestik bebas dibenarkan.

Reformasi ini, yang dijangka mendapat kelulusan akhir parlimen pada Februari akan menyaksikan jumlah kementerian dikurangkan daripada 30 kepada 22. Perkhidmatan awam, polis, tentera, dan pelbagai organisasi milik kerajaan juga akan menghadapi pengurangan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pham Thi Thanh Tra, menyifatkan reformasi ini sebagai "satu revolusi bukan sahaja untuk menyusun semula struktur tetapi juga untuk mengubah pemikiran, visi, dan kesedaran ke arah masa depan yang lebih baik", menurut media kerajaan.

Pemotongan ini dilakukan lima bulan selepas To Lam menjadi pemimpin paling berkuasa di Vietnam. - AFP

TETITIA YUSOFF