MOSCOW, 20 Disember – Utusan Rusia, Kirill Dmitriev, mengesahkan pada Sabtu bahawa beliau dalam perjalanan ke Miami untuk menghadiri satu lagi pusingan rundingan bagi menyelesaikan konflik Ukraine.
Dmitriev memaklumkan perkara tersebut menerusi catatan di platform X dan disertai emoji burung merpati damai dan video pendek matahari pagi menembusi awan di pantai dengan pokok palma.
"Ketika para pencetus perang berusaha menggagalkan pelan damai AS untuk Ukraine, saya teringat video ini dari lawatan sebelum ini, cahaya menembusi awan ribut", menurut catatan itu.
Rundingan tersebut turut melibatkan delegasi Ukraine dan Eropah, dikendalikan oleh utusan Donald Trump, Steve Witkoff, serta menantu Presiden AS, Jared Kushner.
Utusan Trump mencadangkan pelan jaminan keselamatan untuk Ukraine, tetapi Kiev mungkin perlu menyerahkan sebahagian wilayah, dibantah ramai rakyat Ukraine.
Bagaimanapun, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menegaskan Ukraine tidak akan dipaksa bersetuju dengan sebarang perjanjian dan mungkin menyertai rundingan di Miami.
Penglibatan Rusia dan Eropah menunjukkan kemajuan rundingan, namun Dmitriev dijangka tidak berunding terus dengan Ukraine kerana hubungan masih dingin.
Moscow yang menghantar tentera ke Ukraine pada Februari 2022, berpendapat bahawa penglibatan Eropah hanya akan menghalang proses rundingan dan sering melabelkan pemimpin benua itu sebagai properang.