MOGADISHU, 20 Disember – Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, menegaskan bahawa hubungan negaranya dengan China semakin kukuh, berkembang menjadi perkongsian strategik yang menyaksikan peningkatan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Dalam temubual eksklusif dengan China Media Group (CMG) Jumaat lalu, beliau menjelaskan perkembangan hubungan dan kerjasama Somalia-China.
Hassan Sheikh Mohamud telah menghadiri Sidang Kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) 2024 di Beijing pada September lalu, di mana beliau bersama Presiden China, Xi Jinping, mengumumkan peningkatan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik.
“Di Beijing, saya bertemu Presiden Xi dan kami mengadakan perbincangan yang sangat baik mengenai peningkatan hubungan antara kedua negara serta bidang kerjasama yang boleh kita jalankan.
"Saya juga bertemu beberapa syarikat China dan pihak berkuasa dari pelbagai jabatan. Beberapa projek dan rancangan pembangunan yang dibincangkan telah pun dilaksanakan.
"Delegasi Somalia turut berkunjung ke China untuk berkongsi pengalaman dan melihat perkembangan sejarah China dari tahap rendah sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan kekuatan China. Pertukaran lawatan telah pun bermula,” katanya.
"Perkongsian strategik ini mengambil masa untuk dibangunkan, selepas hubungan terhenti akibat perang saudara, dan kini usaha menghidupkan semula kerjasama sedang dijalankan", katanya.
Selasa lalu, Somalia dan China menyambut ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik, kedua-dua negara itu berikrar untuk meningkatkan kerjasama serta meneroka kepentingan bersama yang lebih produktif.-REUTERS