ISLAMABAD, 20 Disember - Mahkamah di Pakistan menjatuhi hukuman penjara 17 tahun ke atas bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, dan isterinya, Bushra Bibi, pada Sabtu berhubung kes rasuah melibatkan pembelian hadiah negara mewah yang didakwa diperoleh pada harga lebih rendah daripada nilai sebenar.
Menurut laporan media tempatan, Geo News Imran Khan, 73, yang memegang jawatan Perdana Menteri dari 2018 hingga 2022, telah dipenjarakan sejak penahanannya pada Ogos 2023 atas pertuduhan rasuah dan kini sedang menjalani beberapa hukuman penjara dalam beberapa kes yang didakwa bermotifkan politik.
Awal Disember lalu, adik perempuannya memaklumkan bahawa bekas perdana menteri itu berada dalam keadaan kesihatan yang baik, namun berdepan pengasingan serta tekanan psikologi, susulan lawatan terhad yang dibenarkan selepas beberapa minggu keluarganya mendakwa akses kepada beliau disekat.
Uzma Khanum, salah seorang daripada tiga adik perempuan Imran Khan, merupakan satu-satunya ahli keluarga yang dibenarkan melawat beliau di Penjara Adiala, ketika penyokong parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) berhimpun di luar penjara bagi membantah keadaan penahanannya.
Pihak berkuasa menafikan sebarang dakwaan penganiayaan dan menegaskan bahawa Imran Khan menerima semua kemudahan serta hak yang diperuntukkan kepada banduan.
Sementara itu, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Dalam Negeri Pakistan, Talal Chaudhry, berkata keputusan berkaitan lawatan penjara adalah bawah bidang kuasa pihak pengurusan penjara dan bukan bawah kawalan kerajaan.- REUTERS