fb fb fb fb fb

Serangan AS di Syria bunuh lima anggota Daesh

Foto AFP

BEIRUT, 20 Disember - Sekurang-kurangnya lima anggota Daesh terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) di timur Syria.

Serangan itu dilakukan susulan insiden maut hujung minggu lalu yang meragut nyawa anggota tentera AS.

Ketua Balai Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdel Rahman, memaklumkan anggota Daesh terbunuh di wilayah Deir Ezzor di timur Syria, termasuk ketua sel yang bertanggungjawab terhadap operasi dron di kawasan itu.

Amerika Syarikat telah menyerang lebih 70 sasaran Daesh sebagai tindakan balas terhadap serangan 13 Disember yang yang meragut nyawa dua anggota tentera AS dan satu orang awam.

Sementara itu, sumber keselamatan Syria berkata serangan AS menyasarkan sel Daesh di kawasan gurun Badia termasuk di wilayah Homs, Deir Ezzor dan Raqa.

Kebanyakan sasaran berada di kawasan pergunungan utara Palmyra hingga Deir Ezzor, menurut sumber yang enggan dikenali.

Seorang penembak bersenjata Daesh melancarkan serangan di Palmyra iaitu lokasi runtuhan purba yang diiktiraf UNESCO dan pernah dikuasai kumpulan itu. Ia merupakan insiden pertama sejak kejatuhan pemerintah Bashar al-Assad pada Disember tahun lalu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN