fb fb fb fb fb

7 ekor gajah mati dirempuh kereta api di Assam

Foto hiasan

NEW DELHI, 20 Disember - Sebuah kereta api penumpang merempuh sekumpulan gajah di timur laut India, mengakibatkan tujuh ekor haiwan itu mati di lokasi kejadian, menurut pihak berkuasa pada Sabtu.

Tiada penumpang dilaporkan cedera dalam kemalangan di negeri Assam itu, yang menempatkan lebih 4,000 daripada kira-kira 22,000 gajah liar di India.

Pegawai kanan polis Assam, V.V. Rakesh Reddy, memberitahu AFP bahawa tujuh ekor gajah maut manakala seekor lagi cedera.

Beliau berkata, lima gerabak kereta api yang dalam perjalanan dari negeri Mizoram menuju ke New Delhi, tergelincir akibat kejadian tersebut.

Sementara itu, Jurucakap Keretapi India, Kapinjal Kishore Sharma, berkata pihak berkuasa telah mengenakan had kelajuan di laluan yang dikenal pasti sebagai laluan gajah, namun kejadian terbaharu itu berlaku di luar zon berkenaan.

“Pemandu lokomotif yang menyedari kehadiran kumpulan gajah itu telah menekan brek kecemasan, namun haiwan berkenaan tetap menuju ke arah kereta api tersebut,” katanya.

Penebangan hutan dan aktiviti pembinaan berhampiran habitat semula jadi memaksa gajah bergerak lebih jauh untuk mencari makanan, sekali gus meningkatkan konflik antara manusia dan hidupan liar.

Berdasarkan data Parlimen India, seramai 629 orang terbunuh akibat serangan gajah di seluruh negara itu bagi tempoh 2023 hingga 2024.- AFP

ROSLINA BINTI DIN