fb fb fb fb fb

Usaha menyelamat kanak-kanak jatuh perigi di Maghribi di peringkat akhir

FOTO AFP


BAB BERRED, 5 Februari
- Penyelamat Maghribi semalam di peringkat akhir dalam usaha menyelamat kanak-kanak berusia lima tahun, Rayan, yang terperangkap dalam perigi selama empat hari.

Setakat petang semalam, penyelamat masih bekerja keras menggunakan lampu limpah dalam fasa terakhir operasi itu, dengan mengorek terowong sedalam tiga meter untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

"Kami sudah hampir. Kami bekerja tanpa henti selama tiga hari dan semakin penat, namun semua anggota penyelamat tetap terus bertugas," kata seorang daripada ketua operasi itu, Abdesalam Makoudi.

Rayan jatuh ke dalam perigi kosong sedalam 32 meter di kampung Ighrane yang terpencil di wilayah Chefchaouen, Selasa lalu.

Media Maghribi melaporkan, penyelamat berjaya menghantar oksigen dan air ke dalam perigi itu Khamis lalu, namun pihak berkuasa tidak memaklumkan sebarang perkembangan baharu mengenai keadaan kanak-kanak itu.

Perigi yang hanya seluas 45 sentimeter itu terlalu sempit untuk penyelamat turun menyelamatkan kanak-kanak itu dan meluaskannya terlalu berisiko, sekali gus jentera membuat cerun ke dalam bukit untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dari bahagian tepi.

Namun, operasi itu menjadi bertambah rumit disebabkan campuran pelbagai jenis batu dan tanah berpasir, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh.

Agensi berita MAP melaporkan, pasukan perubatan kini sudah bersiap sedia di lokasi kejadian untuk memeriksa keadaan kanak-kanak itu apabila dia berjaya dikeluarkan.

Selain itu, sebuah helikopter turut bersedia untuk membawa kanak-kanak itu ke hospital apabila dia dapat diselamatkan.

Operasi yang kompleks dan berisiko itu menarik perhatian penduduk di negara Afrika Utara itu, dan mencetus simpati daripada negara pesaingnya, Algeria. - AFP

Media Baharu