fb fb fb fb fb

Taufan Batsirai hampiri Madagascar, menimbulkan 'ancaman yang sangat serius'

FOTO AFP


VATOMANDRY, MADAGASCAR, 5 Februari-  
Madagascar bersiap sedia untuk menghadapi Taufan Batsirai yang akan melanda bahagian timur pulau Lautan Hindi hari ini, dengan angin kencang dan hujan lebat yang menimbulkan 'ancaman sangat serius' kepada berjuta-juta orang.

Penduduk berborak sebelum ribut mendarat di negara miskin yang masih dalam pemulihan daripada Ribut Tropika Ana pada akhir Januari.

Perkhidmatan cuaca Meteo-Perancis memberi amaran mengenai angin sehingga 260 kilometer sejam (km/j) dan ombak setinggi 15 meter (m).

Ia berkata, Batsirai berkemungkinan akan mendarat petang ini sebagai taufan tropika yang kuat, 'menunjukkan ancaman yang sangat serius kepada kawasan itu' selepas melepasi Mauritius dan membasahi pulau Perancis La Reunion selama dua hari dengan hujan lebat.

Penduduk di bandar pantai timur Vatomandry sedang mengumpul bekalan sebagai persediaan menghadapi ribut.

"Kami telah menyimpan stok selama seminggu, seperti beras juga bijirin kerana disebabkan pemotongan elektrik kami tidak dapat menyimpan daging atau ikan," kata Odette Nirina, 65, seorang pengusaha hotel di bandar pinggir laut Vatomandry.

"Saya juga telah menyimpan arang batu. Di sini kami sudah biasa dengan taufan," katanya kepada AFP.

Tiupan angin berkelajuan lebih 50 km/j melanda pekan Vatomandry pagi ini disertai hujan sekejap-sekejap.

Penduduk telah mengukuhkan bumbung dengan meletakkan beg pasir.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, ia meningkatkan kesiapsiagaannya dengan agensi bantuan, meletakkan pesawat penyelamat bersiap sedia dan mengumpul bekalan kemanusiaan.

Kesan Batsirai ke atas Madagascar dijangka 'besar', kata Jens Laerke, jurucakap organisasi kemanusiaan PBB OCHA, memberitahu pemberita di Geneva, hari ini.

Sekurang-kurangnya 131,000 orang terjejas oleh Ana di seluruh Madagascar pada akhir Januari.

Sekurang-kurangnya 58 orang terbunuh, kebanyakannya di ibu negara Antananarivo.

Ribut itu turut melanda Malawi, Mozambique dan Zimbabwe, menyebabkan berpuluh-puluh kematian.

Program Makanan Sedunia (WFP) PBB menunjukkan anggaran pihak berkuasa negara bahawa kira-kira 595,000 orang boleh berisiko terjejas secara langsung oleh Batsirai, dan 150,000 lagi mungkin kehilangan tempat tinggal akibat tanah runtuh dan banjir baharu.

"Kami sangat gementar," kata Pasqualina Di Sirio, yang mengetuai program WFP di Madagascar, memberitahu pemberita melalui pautan video dari pulau Lautan Hindi.

Pasukan mencari dan menyelamat di pulau itu telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan penduduk mengukuhkan kediaman mereka.

Ribut itu menimbulkan risiko kepada sekurang-kurangnya 4.4 juta orang dalam satu cara atau yang lain.- AFP

Media Baharu