fb fb fb fb fb

Rundingan gagal dicapai, juruterbang Eurowings akan lancar mogok

BERLIN, 5 Oktober - Juruterbang Eurowings akan melancarkan mogok pada Khamis, selepas rundingan mengenai penambahbaikan syarikat penerbangan tambang murah Jerman itu gagal dicapai, kata kesatuan mereka.

Kakitangan anak syarikat Lufthansa menuntut pengurangan masa penerbangan maksimum serta tambahan tempoh rehat, kata kesatuan Cockpit, sambil menambah perjanjian semasa tidak dikemas kini sejak tahun 2015.

“Beban kerja telah meningkat dengan ketara. Majikan kerap memaksa kakitangan ke had maksimum yang dibenarkan," kata Matthias Baier, jurucakap Cockpit.

Selepas beberapa rundingan gagal, "satu-satunya pilihan yang tinggal untuk kami ialah memajukan tuntutan kami melalui pertikaian buruh," katanya.

Kesatuan itu berkata mereka terbuka untuk sebarang perbincangan lanjut.

(FOTO AFP)

Kebelakangan ini kejadian protes di sektor penerbangan Eropah semakin meningkat, dalam kalangan juruterbang, kru kabin dan kakitangan darat.

Inflasi yang tinggi memaksa mereka menuntut kenaikan gaji, manakala sektor itu juga menghadapi kekurangan pekerja selepas ramai pekerja terpaksa diberhentikan ketika COVID-19 melanda dunia. 

Bulan lepas juruterbang Lufthansa bersetuju untuk tidak melancarkan mogok, sehingga sekurang-kurangnya akhir Jun tahun depan bawah perjanjian gaji yang dirundingkan dengan syarikat penerbangan itu. - AFP

Media Baharu