fb fb fb fb fb

UNSC tuntut tamatkan konflik El-Fasher di Darfur

Penduduk Sudan yang melarikan diri daripada keganasan di Darfur Barat, melintas sempadan Adre menuju ke Chad/ REUTERS

NEW YORK, 14 Jun- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) menuntut penamatan konflik El-Fasher di wilayah Darfur di Sudan.

Pertempuran antara kerajaan dengan pasukan separa tentera (RSF) itu telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang sangat teruk.

Resolusi Majlis Keselamatan yang disediakan Britain itu disokong 14 negara. Mereka menyeru pihak bertelagah menamatkan serta merta pertempuran yang mengancam keselamatan orang awam.

Menurut duta Britain di PBB, Barbara Woodward resolusi itu jelas menuntut gencatan senjata dilaksanakan.

El-Fasher di Darfur Utara ialah satu-satunya ibu negeri di wilayah barat yang tidak dikawal RSF dan sebelum ini merupakan hab kemanusiaan bagi wilayah yang kini berada di ambang kebuluran.

Sementara itu, pada awal Jun lalu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa gencatan senjata susulan serangan RSF ke atas sebuah kampung yang dilaporkan menyebabkan lebih 100 orang terkorban.

Jawatankuasa PBB yang menyelaras bantuan kemanusiaan, mewakili 19 organisasi berbeza, menuntut akses ke Sudan dalam satu kenyataan bersama bulan lalu, memberi amaran tentang "senario mimpi ngeri."

"Kebuluran akan berlaku di sebahagian besar negara. Lebih ramai orang akan melarikan diri ke negara jiran untuk mencari rezeki dan keselamatan. Lebih ramai kanak-kanak akan mati akibat penyakit dan kekurangan zat makanan," kata Jawatankuasa Tetap Antara Agensi.

Majlis Keselamatan PBB telah pun menuntut gencatan senjata pada Mac lalu, namun tidak berkesan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN