fb fb fb fb fb

Kemboja bakar lebih empat tan dadah, usaha membanteras diperhebat

Foto AFP

PHNOM PENH, 14 Jun- Kemboja pada Jumaat telah membakar lebih daripada empat tan dadah haram, bernilai hampir $70 juta dolar, ketika negara itu mempertingkat penguatkuasaan keras terhadap pengedaran narkotik.

Proses pembakaran itu membabitkan dadah jenis ketamin, methamphetamine, heroin, kokain dan bahan kimia di dalam sebuah tanur bata, di bawah kawalan berpuluh-puluh angkatan tentera.

Setiausaha agung Pihak Berkuasa Kebangsaan untuk Membanteras Dadah (NACD), Meas Virith memberitahu bahawa nilai jalanan bagi 4.1 tan dadah itu adalah sekitar $67 juta dolar.

"Jika pihak berkuasa gagal merampas dadah ini, berjuta-juta orang akan menjadi mangsa," kata Virith sambil menegaskan bahawa kerajaannya telah meningkatkan usaha memerangi pengedaran dadah.

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Kemboja telah menjadi negara transit utama untuk pengedaran dadah.

"Kebanyakan dadah haram yang dirampas di Kemboja adalah dari apa yang dipanggil Segitiga Emas di mana Myanmar, Laos dan Thailand bertemu," kata Meas Virith lagi.

Kemboja telah mencatatkan peningkatan dalam penahanan dadah dan rampasan narkotik sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Namun, selepas Perdana Menteri, Hun Manet yang memegang jawatan pada Ogos tahun lalu, mengarahkan pihak berkuasa untuk memperhebatkan usaha membanteras dadah terlarang.

Kira-kira 10,000 suspek berkaitan dadah telah ditahan dan 4.7 tan dadah terlarang telah dirampas dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, menurut pihak berkuasa Kemboja.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM