fb fb fb fb fb

Perjanjian keselamatan AS-Ukraine, Rusia anggap "hanya helaian kertas biasa"

Foto AFP

MOSCOW, 14 Jun- Jurucakap kementerian luar Rusia, Maria Zakharova pada Jumaat menolak perjanjian keselamatan AS-Ukraine yang diumumkan semasa sidang kemuncak G7 sebagai satu tindakan yang sia-sia.

Menurut agensi berita Rusia, Zakharova menganggap perjanjian kerjasama itu sebagai "hanya kepingan kertas".

"Perjanjian ini tidak ada apa-apa. Mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang," kata Zakharova.

Pada Khamis, Ukraine menandatangani perjanjian keselamatan dengan AS dan Jepun, yang terbaru dalam siri perjanjian serupa yang dicapai dengan sekutu Baratnya termasuk Britain dan Perancis.

Dokumen itu termasuk janji untuk meneruskan sokongan ketenteraan dan kewangan untuk Ukraine dalam jangka panjang terhadap serangan tentera Rusia.

Zakharova berkata urusan diplomatik itu bertujuan untuk menunjukkan kepada rakyat yang tinggal di Ukraine bahawa masyarakat dunia masih lagi bersama mereka.

"Pada hakikatnya, mereka mengelak sebarang tanggungjawab undang-undang untuk masa depan Ukraine," katanya.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata pada Khamis perjanjian 10 tahun yang ditandatangani dengan Washington adalah "jambatan" kepada keahlian NATO untuk negaranya.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM