fb fb fb fb fb

Dua maut, puluhan cedera dalam insiden letupan bunga api di Switzerland

Foto Keystone

GENEVA, 14 Jun- Dua lelaki maut dan hampir puluhan orang cedera akibat satu letupan yang berlaku di garaj bawah tanah di utara Switzerland, kata polis pada Jumaat.

Jurucakap polis wilayah, Daniel Wachter berkata pihaknya percaya bahawa letupan itu berpunca daripada bekalan bunga api yang terletak di dalam garaj di Nussbaum, dekat Zurich, menurut agensi berita Keystone-ATS.

Mayat dua lelaki iaitu seorang warga Itali berusia 43 tahun dan seorang lagi warga Switzerland berusia 24 tahun ditemukan maut di dalam garaj.

Insiden dilapor berlaku kira-kira pukul 7.00 malam waktu tempatan pada Khamis.

"11 orang cedera ringan dan sekitar 100 orang terpaksa dipindahkan kerana letupan itu mencetuskan kebakaran yang merebak ke bangunan di atas garaj, yang mengalami kerosakan yang besar," kata polis.

Gambar yang disiarkan di platform akhbar Blick menunjukkan asap besar berkepul-kepul dan api marak menjilat tingkat bawah bangunan tinggi di pekan kecil itu, terletak kira-kira 25 kilometer barat laut bandar terbesar di Switzerland.

Penduduk memberitahu media Switzerland bahawa mereka mendengar beberapa siri letupan kuat.

"Peristiwa itu membuat saya kecewa. Anda biasanya hanya melihat imej seperti itu dari zon perang," kata datuk bandar, Bettina Lutz-Guttler kepada Blick.

GRACE AISYAH KEDAYAN