fb fb fb fb fb

Houthi sasar tiga kapal di Laut Merah dan Laut Arab

Yahya Saree menerusi ucapan yang disiarkan dalam siaran televisyen tempatan semalam/Reuters

SANA'A, 14 Jun- Kumpulan Houthi di Yaman menyasarkan tiga buah kapal dalam misi terbaharu mereka di Laut Merah dan Laut Arab dengan sekurang-kurangnya seorang kelasi mengalami kecederaan parah.

Jurucakap tenteranya, Yahya Saree mengesahkan perkara itu dalam ucapan menerusi siaran televisyen tempatan yang disiarkan semalam.

Beliau berkata, pasukan tentera laut, pasukan peluru berpandu dan angkatan udara tanpa pemandu (unit dron) berjaya melaksanakan tiga operasi ketenteraan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ia menyasarkan kapal Verbena di Laut Arab, serta kapal SeaGuardian dan kapal Athina di Laut Merah.

"Operasi telah dijalankan menggunakan beberapa peluru berpandu balistik milik tentera laut serta dron, dan mereka mencapai sasaran dengan jayanya.

"Operasi tidak akan berhenti sehingga pencerobohan dan pengepungan terhadap rakyat Palestin di Gaza ditamatkan," katanya.

Sementara itu, tentera Amerika Syarikat (AS) melaporkan seorang kelasi dalam kapal Verbena parah dalam serangan berkenaan.

"Kapal Verbena -- kapal berbendera Republik Palau, milik Ukraine, dikendalikan Poland -- melaporkan kerosakan dan kebakaran di atas kapal. Anak kapal berjaya memadam kebakaran. Seorang kelasi cedera parah semasa serangan itu," menurut Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) dalam kenyataan.

Selama berbulan-bulan, Houthi telah melancarkan serangan ke atas kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel di luar pantainya hingga memaksa kapal berkenaan mengubah laluan kargo ke laluan lebih jauh dan mahal di lautan sekitar selatan Afrika. -Reuters/AFP

SITI AISHAH MD ISA