NEW YORK, 28 Ogos - Majlis Keselamatan PBB hari ini akan mengundi untuk menentukan misi pengaman di selatan Lubnan, yang dijangka berdepan bantahan Amerika Syarikat dan Israel.
Kira-kira 10,800 anggota pengaman bertugas di zon penampan antara Israel dengan Lubnan sejak tahun 1978.
Namun, usaha memperbaharu mandat pasukan itu yang akan berakhir pada Ahad ini berdepan tentangan daripada Washington dan Tel Aviv yang mahu mereka berundur.
Majlis akan membincangkan draf yang digubal Perancis bagi mengekalkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sehingga akhir tahun depan sementara membuat persediaan untuk berundur.
Paris, yang menyelia isu itu dalam Majlis Keselamatan dan mendapat sokongan Beirut, pada mulanya mempertimbangkan pelanjutan satu tahun dan hanya merujuk kepada "niat" untuk berusaha ke arah penarikan UNIFIL.
Tetapi berdepan dengan kemungkinan veto Amerika Syarikat, dan susulan beberapa cadangan dan penangguhan undian pada Isnin lepas, draf resolusi terbaru yang diperoleh AFP, jelas menjadualkan penamatan misi dalam tempoh 16 bulan.
Teks draf itu menyebut, Majlis memutuskan untuk melanjutkan mandat UNIFIL buat kali terakhir seperti yang ditetapkan oleh resolusi 1701 (2006) sehingga 31 Disember 2026.
Selepas tarikh itu, proses pengunduran anggota pengaman Helmet Biru secara teratur akan dimulakan dalam tempoh setahun.
Selepas itu, tentera Lubnan akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan keselamatan di selatan negara itu. - AFP