fb fb fb fb fb

Jerman perkenal perkhidmatan tentera sukarela, perkukuh pertahanan negara

Foto Reuters

BERLIN, 28 Ogos – Kabinet Jerman meluluskan draf rang undang-undang bagi memperkenalkan skim perkhidmatan tentera secara sukarela, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pertahanan negara.

Ia susulan kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat berikutan tindakan agresif Rusia.

Kementerian Pertahanan berharap skim enam bulan itu akan membantu menggandakan jumlah anggota simpanan terlatih daripada kira-kira 100,000 kepada lebih 200,000, di samping menarik minat sebahagian peserta untuk menyertai khidmat tentera sepenuh masa.

Rang undang-undang itu memperincikan sasaran pengambilan tahunan bagi skim sukarela baharu, bermula dengan 20,000 anggota pada tahun 2026 dan meningkat kepada 38,000 menjelang 2030.

Menurut draf tersebut, jika sasaran ini gagal dicapai, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengembalikan sistem kerahan tentera wajib, tertakluk kepada kelulusan Parlimen.

Namun begitu, rang undang-undang itu dijangka menghadapi cabaran apabila dibentangkan di Parlimen.

Ini disifatkan sebagai kesungguhan Jerman untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara dalam situasi keselamatan yang semakin meruncing selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada tahun 2022.

Perkhidmatan tentera wajib di Jerman telah dimansuhkan pada tahun 2011, dan sejak itu, negara itu berdepan kesukaran merekrut anggota tentera.

Dalam langkah berkaitan, kerajaan Jerman turut bersetuju untuk menubuhkan Majlis Keselamatan Negara yang tetap, bagi merancang keperluan keselamatan negara dalam jangka sederhana dan panjang.

Majlis ini akan menggantikan Majlis Keselamatan Persekutuan dan Kabinet Keselamatan, sebagai usaha memperkukuh dasar keselamatan negara selepas tempoh aman yang panjang sejak era Perang Dingin.

Langkah itu menjadikan Jerman negara terbaharu menubuhkan struktur keselamatan pusat, mengikuti model Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat, yang turut diikuti oleh Britain pada tahun 2010. - REUTERS

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM