CHIANG MAI, 28 Ogos – Sekurang-kurangnya dua orang maut, 13 cedera dan lima lagi dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah perkampungan di wilayah Chiang Mai pada Rabu.
Menurut Kementerian Kesihatan Awam Thailand, ia berikutan hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Kajiki.
Rakaman video oleh Thai Public Broadcasting Service (TPBS) menunjukkan perkampungan Ban Pang Ung, yang terletak di kawasan pergunungan kira-kira lebih 200 kilometer dari bandar Chiang Mai, telah terkubur di bawah lumpur dan runtuhan.
Menurut Jabatan Pencegahan Bencana Thailand, hujan lebat akibat taufan tersebut turut menyebabkan banjir dan tanah runtuh di lapan wilayah, menjejaskan lebih daripada 180 buah isi rumah.
Sementara itu, di Vietnam, pihak berkuasa melaporkan bahawa tujuh orang telah terkorban, dengan lebih daripada 10,000 kediaman dan pejabat terjejas akibat banjir serta 86 hektar tanaman padi dan hasil pertanian turut rosak teruk.
Pihak berkuasa kedua-dua negara kini sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat, selain menggerakkan bantuan kecemasan ke kawasan-kawasan yang terjejas.
Taufan Kajiki, yang membawa angin kencang dan hujan berterusan, dijangka akan terus memberi impak kepada beberapa kawasan di rantau Asia Tenggara dalam tempoh beberapa hari akan datang. - REUTERS