MINNEAPOLIS, 28 Ogos – Dua murid terbunuh dan 17 yang lain cedera dalam satu kejadian tembakan di sebuah sekolah rendah Katolik di Minneapolis pada Rabu pada hari ketiga persekolahan, menurut pihak berkuasa tempatan.
Penyerang, yang berpakaian serba hitam, melepaskan tembakan ke arah pelajar yang sedang duduk di bangku gereja serta ketika mereka sedang masuk ke dalam rumah ibadat tersebut, sebelum menembak diri sendiri.
Dua orang pelajar masing-masing berusia 8 dan 10 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pihak berkuasa mengenal pasti penyerang sebagai Robin Westman, 23 tahun.
Dalam sidang media, pegawai merujuk penyerang sebagai lelaki, namun rekod mahkamah menunjukkan bahawa nama Westman ditukar daripada Robert pada tahun 2020 setelah mengisytiharkan diri sebagai wanita.
Insiden di Sekolah Katolik Annunciation, sebuah sekolah rendah swasta yang menempatkan kira-kira 395 pelajar merupakan kejadian tembakan sekolah ke-146 di Amerika Syarikat sejak Januari, menurut pangkalan data K-12 School Shooting Database.
Tembakan bertubi-tubi dari senapang, senapang patah dan pistol telah dilepaskan, semuanya dipercayai dibeli secara sah.
Pihak berkuasa turut menemui beberapa lagi senjata api di kediaman-kediaman lain yang dikaitkan dengan Westman.
Polis menyatakan bahawa Westman tidak mempunyai rekod jenayah dan dipercayai bertindak bersendirian dan setakat ini, motif kejadian masih belum dikenal pasti.
Siasatan awal turut mendedahkan satu manifestasi dalam talian yang dipercayai ditulis oleh Westman, namun kandungan itu telah diturunkan daripada internet.
Rakaman video dalam talian yang diteliti oleh agensi berita Reuters menunjukkan penyerang mencatatkan perasaan kemurungan dan berhasrat untuk melancarkan serangan bersenjata besar-besaran.
Nama-nama penembak sekolah sebelum ini, turut ditulis pada kelopak peluru senjata api, bersama pelbagai luahan pandangan politik yang tidak menentu.
Insiden tragis ini sekali lagi mencetuskan perdebatan hangat mengenai undang-undang pemilikan senjata di Amerika Syarikat, serta mendorong desakan bagi pelaksanaan langkah-langkah keselamatan sekolah yang lebih ketat. - REUTERS