GAZA, 26 Ogos – Ribuan keluarga Palestin meninggalkan Bandar Gaza, apabila tentera Zionis terus melakukan serangan udara dan bedilan kereta kebal sepanjang malam di kawasan pinggir bandar.
Penduduk tempatan melaporkan bahawa serangan yang berlaku telah memusnahkan jalan raya serta kediaman.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Stéphane Dujarric memaklumkan, Kementerian Kesihatan Gaza telah merekodkan tiga lagi kematian akibat kekurangan zat makanan dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah korban keseluruhan kepada 303 orang termasuk 117 kanak-kanak.
"Lebih 36,000 orang telah kehilangan tempat tinggal dalam beberapa hari kebelakangan ini, kebanyakannya melarikan diri dari Bandar Gaza menuju ke Deir al-Balah dan Khan Younis," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan darah yang kritikal di hospital-hospital di Gaza.
"Keperluan harian melebihi 350 unit darah, namun pendermaan daripada komuniti merosot teruk akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan," ujarnya lagi.
Misi-misi kemanusiaan terus berdepan halangan daripada pihak berkuasa Israel, dan PBB sekali lagi menggesa gencatan senjata serta akses kemanusiaan tanpa halangan ke seluruh Semenanjung Gaza.
Sementara itu, tentera Israel menyatakan bahawa operasi mereka di kawasan terbabit bertujuan mengesan senjata dan memusnahkan terowong yang digunakan oleh pejuang Hamas.
Walaupun menerima tekanan hebat dari dalam dan luar negara, Israel tetap berdegil untuk melancarkan serangan baharu ke atas Bandar Gaza, yang disifatkan sebagai kubu terakhir Hamas.
Tunjuk perasaan besar-besaran turut berlangsung di Tel Aviv dan beberapa bandar utama di Israel, dengan penunjuk perasaan mengangkat gambar tebusan yang masih ditahan di Gaza serta menuntut penamatan peperangan.
Ribuan dijangka menyertai perhimpunan yang dirancang di hadapan ibu pejabat pertahanan Israel.
Konflik bermula pada 7 Oktober 2023 apabila kumpulan bersenjata diketuai Hamas menceroboh selatan Israel, membunuh kira-kira 1,200 orang kebanyakannya orang awam dan menawan 251 tebusan.
Sejak itu, serangan balas Israel telah mengorbankan lebih 62,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Serangan berterusan itu juga telah menyebabkan hampir seluruh populasi Gaza dipindahkan secara dalaman serta mencetuskan krisis kemanusiaan yang amat serius. - REUTERS