fb fb fb fb fb

Angka korban kekejaman Israel di Gaza terus meningkat

Foto- REUTERS

GAZA, 28 Ogos - Angka korban akibat kekejaman Israel di Gaza meningkat kepada 62, 895 orang dengan 158, 927 yang lain, cedera.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza, dalam tempoh 24 jam, 76 lagi maut, manakala 298 yang lain cedera.

Kenyataan itu menyebut, 18 orang terbunuh, manakala 106 lagi cedera akibat ditembak ketika sedang menunggu bantuan makanan di pusat-pusat agihan.

10 lagi rakyat Palestin meninggal dunia akibat kelaparan, termasuk dua kanak-kanak.

Sejak rejim zionis menyekat akses kemasukan makanan pada Mac lepas, jumlah kematian akibat kebuluran dan kekurangan nutrisi makanan meningkat kepada 313.

119 daripadanya kanak-kanak.

Tentera Israel menutup kesemua lintasan sempadan serta melarang kemasukan 430 barangan makanan kritikal hingga menyebabkan 86 peratus kekurangan dalam bantuan makanan.

Lebih 95 peratus penduduk Gaza tidak mempunyai sumber pendapatan untuk membeli barangan asas dan makanan.

Pada Rabu, tentera penceroboh Israel telah mengeluarkan arahan supaya penduduk Gaza City berpindah ke bahagian selatan dengan alasan untuk persediaan peringkat seterusnya perang.

Serangan bertalu-talu berterusan sepanjang malam di Khan Younis di selatan Gaza dan bahagian utara wilayah terkepung itu.

Tentera zionis mendakwa operasi di Jabaliya dan pinggir Gaza City sedang dilaksanakan dalam cubaan mengambil alih bandar itu dan kononnya untuk mengelak kumpulan pejuang kembali bergabung. - REUTERS

EMMI NORALIZA ADNAN