WASHINGTON, 14 November - Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA) merayu kepada negara-negara penderma agar menyalurkan dana tambahan bagi meneruskan operasi.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini memberi amaran operasi agensi itu boleh terjejas tanpa suntikan kewangan segera, yang kini tidak lagi menerima pembiayaan dari Amerika Syarikat.
“Kami beroperasi minggu demi minggu, bulan demi bulan. Setakat hari ini, kami masih mampu memproses pembayaran gaji bagi bulan November, tetapi tiada kepastian sama ada kami boleh memproses gaji Disember,” kata beliau pada sidang media.
Israel telah melarang UNRWA beroperasi selepas menuduh beberapa kakitangan agensi itu terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan konflik berdarah di Gaza.
Berikutan dakwaan tersebut, Amerika Syarikat menggantung bantuan kewangannya.
Susulan keputusan itu juga, UNRWA terpaksa membawa pulang kakitangan antarabangsanya dari Gaza dan Tebing Barat, sekali gus mengehadkan kemampuan agensi itu menyalurkan bantuan makanan.
Lazzarini menegaskan UNRWA masih menggaji 12,000 pekerja di Palestin, dan perkhidmatannya kekal penting kepada rakyat Palestin.
“Kira-kira 75,000 orang berlindung di 100 premis kami di Gaza,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat PBB di New York.
UNRWA menganggarkan kekurangan bajet antara suku terakhir 2025 hingga suku pertama 2026 mencecah sekitar AS$200 juta.
“Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, pendapatan yang dijangka pada suku pertama 2026 terlalu rendah untuk menampung defisit besar dari 2025,” katanya.