TEBING BARAT, 14 November - Dua penduduk Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel di sebuah bandar di Tebing Barat yang diduduki.
Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), dua rakyat Palestin itu dibunuh ketika sedang bersiap untuk melakukan serangan di kejiranan Karmei Zur.
Pihak berkuasa Palestin wakaubagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai kejadian itu.
Sementara itu, pendatang haram Yahudi bertindak membakar Masjid Hajja Hamida berhampiran bandar Deir Istiya di utara Tebing Barat, menurut kenyataan Kementerian Luar Palestin yang berpangkalan di Ramallah.
“Tindakan ini jelas menjejaskan kesucian tempat ibadah dan mencerminkan perkauman mendalam yang mendorong penempatan bertindak di bawah perlindungan kerajaan pendudukan,” kata kementerian itu.
Rakaman AFP menunjukkan beberapa naskhah Al-Quran yang terbakar dan dinding masjid yang terbakar dengan sebahagian dinding diconteng.
Serangan pembakaran berlaku sehari selepas ketua tentera Israel berikrar menghentikan keganasan penempatan.
Israel telah menduduki Tebing Barat sejak 1967, dengan lebih 500,000 warga Israel kini menetap di penempatan di wilayah itu.
Keganasan meningkat sejak perang di Gaza pada Oktober 2023, dengan sekurang-kurangnya 1,003 Palestin terbunuh di Tebing Barat oleh tentera atau pendatang haram Yahudi. - AFP