PARIS, 14 November - Presiden Perancis, Emmanuel Macron, pada Khamis berikrar bahawa Perancis akan melakukan segala usaha bagi mengelak berulangnya serangan pengganas di Paris 10 tahun lalu yang meragut 130 nyawa.
“Segala usaha akan dilakukan untuk menghalang sebarang serangan baharu dan menghukum dengan tegas sesiapa yang berani mencubanya,” katanya.
Salah seorang daripada 10 pengganas berkenaan Salah Abdeslam, 36 tahun, kini menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Sembilan lagi penyerang meletupkan diri atau terbunuh dalam serangan yang didakwa oleh kumpulan Islamic State (IS) itu.
Macron turut memberi amaran tentang kewujudan bentuk pengganas lain yang digelarnya sebagai “ terahsia, licik, dan gagal dikesan.
“Tiada siapa yang boleh menjamin berakhirnya serangan, tetapi kami boleh menjamin bahawa bagi sesiapa yang mengambil senjata menentang Perancis, tindak balasnya akan tegas tanpa kompromi,” katanya.
Macron menambah bahawa Perancis akan terus menjejak pengganas di dalam dan luar negara.
“Dalam tempoh 10 tahun, sebanyak 85 serangan telah digagalkan, termasuk enam serangan tahun ini,” tambahnya. - AFP