GAZA, 14 November - Lebih 900,000 penduduk awam yang kehilangan tempat tinggal di selatan Gaza berdepan risiko banjir apabila cuaca buruk menghampiri kawasan itu, di tengah-tengah situasi kemanusiaan yang semakin meruncing serta kemusnahan meluas akibat perang Israel yang berlanjutan hampir dua tahun, menurut pihak berkuasa perbandaran pada Khamis.
Menurut Anadolu Ajansi (AA), ribut yang mendekati Gaza “amat berbahaya dan berpotensi menenggelamkan ribuan khemah di sepanjang pantai serta merosakkan kawasan di dalam bandar.”
Jurucakap Majlis Perbandaran Khan Younis, Saeb Lakkan memberitahu AA bahawa keadaan bertambah buruk berikutan rangkaian pembetungan yang runtuh serta kolam takungan air hujan yang hampir melimpah, menimbulkan ancaman kepada penduduk.
Jabatan Meteorologi Palestin turut memberi amaran kemungkinan berlakunya banjir kilat pada Jumaat dan Sabtu di kawasan lembah serta lokasi rendah.
Lakkan berkata pihak berkuasa perbandaran kini berdepan situasi “yang belum pernah berlaku,” dengan lebih 900,000 pelarian hidup dalam kesempitan, sementara tahap kemusnahan melebihi 85 peratus membabitkan jaringan jalan raya, bekalan air dan pembetungan.
Beliau berkata bandar itu tidak mampu mengurus hampir 15 juta tan runtuhan akibat serangan udara Israel.
“Serangan Israel memusnahkan kira-kira 210,000 meter jalan raya, 300,000 meter paip air dan 120,000 meter saluran pembetungan, menyebabkan bandar itu hampir lumpuh sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut memberi amaran sistem pembetungan mungkin terhenti beroperasi sepenuhnya akibat kekurangan bahan api, yang boleh mencetuskan limpahan kumbahan berskala besar serta menenggelamkan seluruh kejiranan.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt, katanya, pihak perbandaran hanya menerima 16,000 liter diesel — cukup untuk operasi selama tiga hari — manakala pasukan teknikal bekerja dengan peralatan asas untuk membina benteng tanah dan mengubah aliran lembah bagi melindungi khemah serta kawasan rendah.
Sejak gencatan senjata itu, Israel terus melanggar perjanjian setiap hari, mengakibatkan ratusan korban dalam kalangan rakyat Palestin serta mengehadkan kemasukan makanan dan bekalan perubatan, menurut pegawai Gaza.
Lakkan berkata 1,900 daripada 2,200 saluran air hujan di bandar itu musnah sepenuhnya, namun satu projek kecemasan yang disokong organisasi berkaitan PBB sedang membersihkan saliran yang masih berfungsi.
Beliau berkata pihak berkuasa perbandaran memerlukan pam mudah alih dan peralatan kecemasan tambahan untuk mengelakkan bandar itu daripada ditenggelami banjir ketika ribut dijangka melanda.
Pegawai Palestin itu menggambarkan keadaan di Khan Younis sebagai “amat suram,” sambil menegaskan bahawa bandar berkenaan memerlukan sokongan antarabangsa segera untuk mengalihkan runtuhan serta memulihkan perkhidmatan asas.
Beliau turut merayu masyarakat antarabangsa supaya “bertindak segera bagi menyelamatkan dua juta pelarian yang berdepan risiko banjir dan kematian.” -BERNAMA-ANADOLU