fb fb fb fb fb

Unit kecemasan hospital Gaza ditutup akibat banjir kumbahan

Unit kecemasan kini lumpuh sepenuhnya akibat banjir kumbahan.

KHAN YOUNIS, 15 Ogos - Unit Kecemasan Hospital Nasser di Khan Younis, Gaza, terpaksa ditutup selepas dilanda banjir air kumbahan pada Khamis.

Pengarah hospital, Dr. Atef Al-Hout memaklumkan, punca kebocoran terletak di luar kawasan hospital, iaitu di zon tentera ‘merah’ yang memerlukan kebenaran akses khas daripada pihak pendudukan rejim israel. Proses penyelarasan dijangka mengambil masa sehingga 72 jam, namun keadaan kritikal tidak membolehkan hospital menunggu selama itu.

“Unit kecemasan menerima kira-kira 1,000 pesakit setiap hari. Kini ia lumpuh sepenuhnya akibat banjir kumbahan,” katanya.

Tentera zionis ketika diminta mengulas, menyatakan mereka telah menyemak keadaan tersebut, namun tidak mengetahui isu berkenaan.

Menurut agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), hanya separuh daripada 36 hospital umum di Gaza beroperasi sebahagiannya, selepas kebanyakan fasiliti kesihatan mengalami kerosakan teruk akibat serangan udara dan pengeboman berterusan oleh rejim israel.

TUN JULIA MOHD TAHIR