fb fb fb fb fb

27 migran maut dalam tragedi bot karam di Lampedusa

Pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa yang hilang.

LAMPEDUSA, 15 Ogos - Pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa yang hilang, selepas dua bot sarat membawa migran karam berhampiran Pulau Lampedusa, Itali, pada Rabu.

Setakat ini, 27 mangsa disahkan maut, manakala kira-kira lapan lagi dilaporkan hilang. Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan 95 orang berada di atas kedua-dua bot tersebut ketika kejadian.

Palang Merah memaklumkan 60 mangsa terselamat berjaya dibawa ke darat, termasuk dua orang yang diterbangkan ke Sicily untuk menerima rawatan, manakala selebihnya ditempatkan di pusat penerimaan di pulau itu. Daripada jumlah tersebut, 21 adalah kanak-kanak, kebanyakannya warga Somalia dan beberapa dari Mesir.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Filippo Grandi, menyifatkan insiden itu sebagai tragedi besar dan mendedahkan lebih 700 pelarian serta migran maut di Laut Mediterranean Tengah sejak awal 2025. Beliau menggesa semua pihak memperkukuh usaha penyelamatan di laut, menyediakan laluan selamat, membantu negara transit serta menangani punca migrasi.

TUN JULIA MOHD TAHIR