fb fb fb fb fb

Protes antikerajaan bertukar ganas, pejabat parti pemerintah di Novi Sad dirobohkan

FOTO REUTERS

BELGRADE, 15 Ogos – Penunjuk perasaan antikerajaan bertindak memusnahkan pejabat Parti Progresif Serbia (SNS) di bandar utara Novi Sad, pada Khamis (14 Ogos), manakala insiden pertembungan antara kumpulan itu dengan polis serta penyokong SNS turut tercetus di ibu negara, Belgrade.

Keganasan menyebabkan puluhan cedera. Di Belgrade pada Khamis, ratusan penunjuk perasaan dan penyokong SNS saling membaling suar dan mercun di salah satu jalan utama bandar.

Polis antirusuhan bertindak menyerbu penunjuk perasaan antikerajaan dan menggunakan gas pemedih mata bagi mengarahkan mereka bersurai.

Di Novi Sad, iaitu bandar kedua terbesar Serbia, ketiadaan polis dan penyokong SNS yang setia kepada Presiden populis Aleksandar Vucic membolehkan penunjuk perasaan memecahkan tingkap pejabat parti, membuang perabot dan bahan propaganda SNS, serta menyimbah cat pada pintu masuk bangunan.

Penunjuk perasaan turut melaungkan slogan “Dia sudah pergi” merujuk kepada pemerintahan Vucic yang telah berlanjutan selama 13 tahun.

Kemudian, polis antirusuhan mengepung beberapa blok di pusat bandar Novi Sad dan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Protes harian di seluruh Serbia tercetus susulan insiden bumbung stesen kereta api yang baru diubah suai di Novi Sad runtuh pada November lalu, mengorbankan 16 orang. Kejadian itu menjejaskan populariti Vucic dan SNS.

Menteri Dalam Negeri, Ivica Dacic, menuduh penunjuk perasaan menyerang polis di Novi Sad, Belgrade, serta di bandar Pancevo dan Sabac. Sekurang-kurangnya lima anggota polis cedera, selain siaran langsung stesen N1 TV menunjukkan sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan ditahan.

Vucic berjanji akan melakukan lebih banyak tangkapan selepas protes itu. Parti pembangkang, Party of Freedom and Justice, memaklumkan timbalan ahlinya, Pedja Mitrovic, cedera dan dimasukkan ke hospital.

Protes seumpamanya turut diadakan di beberapa bandar lain.

Terdahulu pada Khamis, Dacic memaklumkan 27 anggota polis dan kira-kira 80 orang awam cedera dalam insiden pada Rabu, manakala 47 individu ditahan.

Penunjuk perasaan menuntut pilihan raya awal bagi menyingkirkan Vucic dan partinya, selain menuduh wujudnya amalan rasuah yang menyebabkan tragedi di stesen kereta api Novi Sad.

Pelajar, kumpulan pembangkang dan badan pemantau antirasuah mendakwa Vucic serta sekutunya mempunyai kaitan dengan jenayah terancang, menggunakan kekerasan terhadap lawan politik dan menyekat kebebasan media.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE