fb fb fb fb fb

UAE hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza

Foto VIORY

GAZA, 14 Ogos - Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaksanakan penghantaran bantuan kemanusiaan udara yang ke-70 ke Gaza pada Rabu, sebagai sebahagian daripada kempen ‘Birds of Goodness' di bawah inisiatif ‘Gallant Knight 3’.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jordan serta penyertaan beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Jerman, Belgium, dan Itali.

Rakaman yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Emirates (WAM) menunjukkan bantuan dimuatkan ke atas pesawat pengangkut tentera, diikuti dengan penghantaran udara ke pelbagai kawasan Gaza, di mana orang awam yang terjejas bergegas untuk mengambil bekalan tersebut.

"Penghantaran itu merangkumi bekalan makanan asas yang disediakan dengan sokongan organisasi dan institusi kebajikan UAE bagi memenuhi keperluan penduduk di Gaza," lapor WAM.

Agensi itu menambah bahawa penghantaran udara itu menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang dihantar melalui udara di bawah operasi berkenaan melebihi 3,940 tan, termasuk makanan dan keperluan asas.

"Kami berterima kasih kepada UAE atas bantuan yang diberikan. Segala puji bagi Allah SWT, semua pihak mendapat manfaat daripadanya, dan kami berharap, dengan izin Allah SWT, akan ada lagi bantuan yang datang," kata seorang penerima. -VIORY

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM