FOTO AFP
KABUL, 22 Februari - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan membayar gaji kepada guru Afghanistan untuk sekurang-kurangnya bagi dua bulan.
Ini selepas mereka tidak mendapat gaji selama berbulan-bulan akibat krisis ekonomi disebabkan sekatan ke atas pentadbiran Taliban.
UNICEF dalam satu kenyataan berkata, bayaran kira-kira AS$100 sebulan itu, akan dibayar dalam mata wang tempatan kepada kira-kira 194,000 guru sekolah rendah dan menengah bagi Januari dan Februari, serta akan dibiayai Kesatuan Eropah (EU).
Negara itu berada dalam krisis ekonomi sejak Taliban mengambil alih pada Ogos lalu selepas pasukan tentera asing mengundurkan diri.
Sekatan terhadap sektor perbankan dan pembiayaan pembangunan yang dihentikan menyebabkan pentadbiran baharu menghadapi kesukaran untuk membayar gaji dalam sektor awam, termasuk guru -AFP