WASHINGTON, 13 September - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) meluluskan resolusi yang menyokong Deklarasi New York bagi mengiktiraf Palestin selain memajukan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.
Menurut Anadolu Ajansi, resolusi bertajuk “Sokongan kepada Pengisytiharan New York mengenai Penyelesaian Damai Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara,” diluluskan dengan 142 undi menyokong, 10 menentang, dan 12 berkecuali.
Antara yang menentang resolusi itu ialah negara haram Israel dan sekutunya Amerika Syarikat.
Deklarasi yang diperkenalkan oleh Perancis dan Arab Saudi itu telah pun ditandatangani bersama oleh 17 negara anggota dalam satu persidangan antarabangsa di ibu pejabat PBB di New York pada Julai lalu.
Teks tersebut menggariskan pelan tindakan untuk keamanan, termasuk gencatan senjata segera di Gaza, pembebasan tebusan, pelucutan senjata Hamas serta pengecualiannya daripada tadbir urus di Gaza, normalisasi hubungan antara Israel dan negara-negara Arab, serta “tindakan bersama untuk menamatkan perang di Gaza.”
“Deklarasi ini hasil sepanjang persidangan dari 28 hingga 30 Julai 2025 di New York, dan ia dirangka bersama 17 pengerusi bersama kumpulan kerja.
“Deklarasi ini menetapkan satu pelan tindakan tunggal untuk merealisasikan penyelesaian dua negara,” kata Wakil Tetap Perancis ke PBB Jerome Bonnafont.