KATHMANDU, 13 September - Bekas Ketua Hakim Negara, Sushila Karki selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Interim Nepal selepas protes besar-besaran untuk menggulingkan kerajaan.
"Tahniah! Kami doakan anda berjaya, doakan kejayaan negara," kata Presiden Nepal Ram Chandra Paudel selepas majlis angkat sumpah yang disiarkan di televisyen seluruh negara.
Karki, 73, merupakan satu-satunya wanita yang pernah menyandang jawatan Ketua Hakim Negara Nepal.
Beliau dikenali sebagai tokoh berintegriti serta lantang menentang rasuah.
Sebelum ini, Nepal berdepan dengan protes daripada golongan Gen Z berpunca daripada sekatan kerajaan terhadap media sosial.
Protes seterusnya merebak pada skala lebih besar sehingga menyebabkan 51 orang maut setakat ini dengan lebih 1,300 lagi cedera.