NEW YORK, 4 Disember - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi untuk menganjurkan persidangan peringkat tinggi bagi melaksanakan resolusi berkaitan dan penyelesaian damai isu Palestin.
Sebilangan besar anggota PBB dalam Perhimpunan Agung meluluskan resolusi itu pada Selasa, walaupun mendapat tentangan daripada Amerika Syarikat (AS) dan rejim Zionis.
Menurut wartawan IRNA, 157 negara mengundi menyokong, tujuh negara berkecuali, manakala lapan negara lain, termasuk AS, Hungary dan Argentina serta rejim Israel, menentang usul itu.
Dengan meluluskan resolusi mengenai penyelesaian damai isu Palestin, Perhimpunan Agung PBB menggesa untuk mencapai keamanan yang menyeluruh, adil dan berkekalan di Timur Tengah tanpa sebarang kelewatan, tambah IRNA.
Menurut resolusi itu, persidangan antarabangsa peringkat tinggi mengenai penyelesaian damai isu Palestin akan diadakan di New York pada Jun 2025.
Resolusi itu menyebut, tujuannya adalah untuk mempromosikan langkah yang tidak boleh diubah bagi mengakhiri konflik antara Israel dan Palestin serta mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Perhimpunan Agung turut meluluskan dengan majoriti besar satu resolusi yang dirangka oleh Palestin pada 16 Sept, yang menyeru Israel menghentikan pendudukan haramnya dalam tempoh 12 bulan. Resolusi itu diluluskan dengan 124 undi menyokong, 43 berkecuali, dan 14 menentang, termasuk Israel dan AS.
Resolusi terakhir itu juga menyambut baik nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai yang mengisytiharkan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin dan penempatan haram adalah tidak sah dan rejim zionis harus berundur dari wilayah berkenaan. - BERNAMA-IRNA