fb fb fb fb fb

UNEP kecewa rundingan plastik di Geneva gagal

Inger Andersen / Foto REUTERS

GENEVA, 15 Ogos - Ketua Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNEP), Inger Andersen, melahirkan kekecewaan apabila rundingan sepuluh hari di Geneva gagal mencapai kata sepakat bagi perjanjian global pertama yang sah untuk menangani pencemaran plastik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha mencapai persetujuan itu akan diteruskan dengan mengambil kira pandangan negara anggota.

Andersen menjelaskan, kerumitan politik dan cabaran ekonomi menjadi antara faktor penghalang, namun menegaskan masih terdapat kemajuan yang dicapai.

“Saya tidak akan berpuas hati selagi belum ada hala tuju yang jelas, namun saya perlu mendengar pandangan negara anggota dan memahami arah yang akan kita tuju,” katanya di sini.

Negara-negara yang menggesa perjanjian lebih berambisi menyifatkan teks terbaharu yang dibentangkan awal pagi Jumaat tidak memenuhi jangkaan.

Sebelum ini, diplomat dan aktivis iklim memberi amaran bahawa cadangan Kesatuan Eropah dan negara pulau kecil untuk mengehadkan pengeluaran plastik berasaskan petroleum, arang batu dan gas berdepan tentangan negara pengeluar petrokimia serta Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump. – REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM