GAZA, 15 Ogos - Peningkatan kematian dan penguasaan tentera Israel di Gaza mengakibatkan kekurangan ruang pengebumian di wilayah terkepung itu.
Tanah perkuburan yang sesak dengan peningkatan jumlah mangsa; memaksa keluarga Palestin membuat pilihan sukar.
Dalam banyak kes, satu liang lahad terpaksa dibuka semula untuk menempatkan lebih daripada seorang mangsa konflik Israel-Hamas, sekali gus mengurangkan peluang keluarga memberikan penghormatan terakhir yang sewajarnya.
Tragedi bertambah buruk apabila tanah perkuburan turut menjadi sasaran serangan, menjadikannya tidak selamat dan sukar diakses.
Akibatnya, keluarga yang berduka terpaksa mengebumikan orang tersayang di dataran awam, berhampiran tempat perlindungan, dan di sebelah khemah keluarga yang dipindahkan.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, jumlah kematian di Gaza kini meningkat kepada 61,776 orang, manakala 154,906 lagi mengalami kecederaan sejak konflik Israel-Hamas bermula pada Oktober 2023. -REUTERS