fb fb fb fb fb

OIC kecam Israel lulus bina ribuan penempatan baharu Tebing Barat

Foto AFP

JEDDAH, 15 Ogos - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel meluluskan rancangan membina 3,400 unit penempatan baharu di Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis yang diduduki, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

OIC menegaskan bahawa pendudukan Israel dan pembinaan penempatan haram adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan mesti dihentikan segera.

Pertubuhan itu memberi amaran bahawa dasar berterusan Israel melibatkan pencerobohan, pembinaan penempatan, pemusnahan, pengusiran dan sekatan, merupakan jenayah sistematik yang menafikan hak rakyat Palestin, menggugat penyelesaian dua negara, mengukuhkan rancangan pengilhakan serta cuba memaksa kedaulatan Israel ke atas wilayah Palestin yang diduduki.

OIC menyeru masyarakat antarabangsa supaya memikul tanggungjawab dengan menghentikan jenayah yang dilakukan kuasa pendudukan itu, memastikan Israel bertanggungjawab serta mengenakan sekatan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi PBB yang berkaitan. -BERNAMA-SPA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM