NEW DELHI, 15 Ogos - Perdana Menteri India, Narendra Modi, menggesa rakyat negaranya pada Jumaat supaya bergerak ke arah berdikari dengan menghasilkan pelbagai barangan termasuk baja, enjin jet, dan bateri kenderaan elektrik (EV), serta berikrar melindungi petani di tengah konflik perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
Modi mengumumkan pengurangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula Oktober ini bagi merangsang perbelanjaan domestik, susulan tarif tinggi ke atas eksport India yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump, yang dijangka menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara itu.
Ucapan Modi disampaikan sempena Hari Kemerdekaan India ketika New Delhi berdepan tekanan tarif AS dan kegagalan rundingan perdagangan, terutamanya berkaitan import produk pertanian dan tenusu dari AS.
Dalam ucapan hampir dua jam itu, Perdana Menteri India tidak menyebut secara langsung mengenai tarif atau AS.
Beliau turut mengumumkan penubuhan sistem pertahanan baharu, “Sudarshan Chakra”, susulan konflik ketenteraan dengan Pakistan pada Mei lalu.
Menurut kenyataan kerajaan India, sistem itu bertujuan menangkis pencerobohan musuh serta memperkukuh keupayaan pertahanan negara. -REUTERS