fb fb fb fb fb

Umat ​​Islam solat Jumaat di Al-Aqsa

(Orang ramai menunaikan solat zuhur Jumaat pertama bulan puasa Islam
Ramadan di perkarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis/AFP)

BAITULMAQDIS, 24 Mac- Ribuan jemaah Islam hari ini mengerjakan solat Jumaat di perkarangan masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis, yang pertama pada bulan suci Ramadan, kata wartawan AFP, di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di rantau itu.

Pihak berkuasa berkata solat di tapak ketiga paling suci umat Islam itu berlalu dengan aman walaupun terdapat kebimbangan mengenai lonjakan keganasan baru-baru ini dalam konflik Israel-Palestin.

Perkarangan masjid di Kota Lama Baitulmaqdis Timur sebelum ini menyaksikan pertempuran dan keganasan yang dicetuskan rejim Israel, terutama semasa Ramadan.

Azzam al-Khatib, ketua majlis hal ehwal Islam Wakaf Jordan yang mentadbir perkarangan itu, memberitahu AFP "solat berjalan dengan aman dan semuanya berjalan lancar."

Menurut beliau 100,000 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat.

Orang ramai berpusu-pusu melalui pintu masuk Bab al-Silsilah ke perkarangan masjid dengan sejadah di tangan, manakala beberapa orang bergambar di hadapan kubah emas ikonik masjid.

Minggu lalu Hamas memberi amaran kepada Israel bahawa ia akan bertindak balas terhadap sebarang "pelanggaran" di perkarangan itu semasa Ramadan.

Sebarang percubaan Israel untuk "mengenakan" dasarnya semasa Ramadan akan disambut dengan "reaksi rakyat kita", kata kenyataan yang dikaitkan dengan Saleh al-Aruri, timbalan ketua biro politik kumpulan yang berpangkalan di Gaza itu.

Sejak awal tahun, konflik Israel-Palestin telah meragut nyawa 87 penduduk Palestin. -AFP

(Ribuan jemaah Islam hari ini mengerjakan solat Jumaat di perkarangan masjid Al-Aqsa
Baitulmaqdis/REUTERS)

Media Baharu