(FOTO AFP)
PARIS, 24 Mac- Penjawat awam di Perancis dilarang memuat turun "aplikasi rekreasi" pada telefon rasmi mereka, kata Kementerian Perkhidmatan Awam, dengan sumber kementerian menambah bahawa TikTok antara aplikasi yang dilarang.
Berikutan larangan TikTok di negara-negara Eropah yang lain, "kerajaan telah memutuskan mulai sekarang tidak membenarkan muat turun dan pemasangan aplikasi rekreasi pada telefon rasmi yang diberikan kepada penjawat awam," kata kementerian itu.
"Aplikasi rekreasi tidak dilengkapi tahap keselamatan siber dan perlindungan data yang mencukupi untuk digunakan pada peralatan pentadbiran," katanya.
Sumber di kementerian itu berkata larangan itu termasuk "aplikasi permainan seperti Candy Crush, aplikasi penstriman seperti Netflix dan aplikasi rekreasi seperti TikTok".
TikTok sangat popular di seluruh dunia kerana perkongsian video pendek dan viral.
Suruhanjaya Eropah serta kerajaan di Belanda, Britain, Amerika Syarikat, Kanada dan New Zealand bagaimanapun mengeluarkan larangan menggunakan aplikasi telefon mudah alih pada peranti rasmi kerana bimbang mempunyai kaitan dengan kerajaan China.
TikTok menegaskan bahawa kerajaan China tidak mempunyai kawalan atau akses kepada datanya.
Namun pada November lalu firma itu mengaku bahawa beberapa pekerja di China boleh mengakses data pengguna Eropah, dan pada bulan Disember ia mengatakan bahawa pekerja telah menggunakan data itu untuk mengintip wartawan. -AFP
(Perancis haramkan penjawat awam muat turun TikTok/REUTERS)