fb fb fb fb fb

Ukraine siap sedia hadapi serangan baharu Rusia



KIEV, 16 Mei- Ukraine hari ini bersiap siaga dengan serangan baharu Rusia di wilayah Donbas, ketika Kiev memaklumkan serangan balasnya di Kharkiv berjaya memperoleh momentum.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata pihaknya sedang bersedia untuk berdepan cubaan baharu Rusia untuk menyerang wilayah itu, dalam usaha Moscow menambah kemajuan di selatan Ukraine.

"Penceroboh ini masih enggan mengakui bahawa mereka sudah berada di jalan buntu dan 'operasi khas' ini sudah bankrap," katanya.

Sejak kegagalan Rusia menawan Kiev ketika permulaan pencerobohan pada hujung Februari lalu, kawalan di Donbas menjadi antara objektif utama Moscow.

Bagaimanapun, perisikan Barat menjangkakan kempen ketenteraan Rusia akan tersekat berikutan mereka berdepan kekalahan teruk dan tentangan sengit Ukraine.

Dalam pada itu, penasihat kepada Presiden Ukraine, Oleksiy Arestovich, berkata tentera Rusia sedang dipindahkan menuju ke arah Donbas, selepas mereka berundur dari Kharkiv susulan serangan balas Ukraine.

(Sejak kegagalan Russia menawan Kyiv ketika permulaan pencerobohan pada hujung Februari lalu,
kawalan di Donbas menjadi antara objektif utama Moscow/ FOTO REUTERS)


Penasihat Menteri Dalam Negeri Ukraine, Vadim Denisenko, pula memaklumkan tentera Kyiv mencatat kemajuan yang banyak di wilayah utara sehingga menghampiri sempadan Rusia, namun siren serangan udara masih dibunyikan di bandar Kharkiv hari ini.

Arestovich menegaskan, tentera Rusia yang sedang berundur itu sedang bergerak menuju ke arah Lugansk.

"Matlamat mereka adalah untuk menawan Severodonetsk. Ada sesuatu yang tidak menjadi pada mereka," katanya.

Severodonetsk adalah bandar paling timur yang masih di bawah kawalan Ukraine, dan jika bandar itu berjaya ditumbangkan, Kremlin bakal mengawal Lugansk, iaitu satu daripada dua wilayah dalam Donbas. - AFP

Media Baharu