fb fb fb fb fb

Raja Salman dibenar keluar hospital

(Hospital Raja Faisal/FOTO FAIL https://www.hziegler.com/)

RIYADH, 16 Mei- Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz, 86, keluar wad, semalam, selepas seminggu dimasukkan ke Hospital Pakar Raja Faisal untuk menjalani beberapa ujian kesihatan, termasuk kolonoskopi.

Rakaman video disiarkan media rasmi Saudi Press Agency (SPA) menunjukkan Raja Salman keluar dari hospital di Jeddah itu dengan bertongkat dan diiringi Putera Mahkota Mohammed Salman serta dikelilingi pegawai, sebelum beredar dengan menaiki kereta.

Menurut SPA dalam Twitter, baginda keluar dari hospital selepas menjalani pemeriksaan perubatan dan berjaya melengkapkan pelan rawatan serta tempoh pemulihan.

Kerajaan sudah bertahun-tahun berusaha menangani spekulasi mengenai kesihatan Raja Salman yang memerintah negara pengeksport utama minyak dunia ini sejak 2015.

Minggu lalu, media negara ini melaporkan keputusan kolonoskopi yang dijalani Raja Salman adalah 'baik' dan doktor 'membuat keputusan supaya baginda berehat di hospital.

 


(Raja Salman (tengah) meninggalkan Hospital Pakar Raja Faisal, Jeddah pada Ahad/FOTO REUTERS)

Pada 2017, Arab Saudi menafikan laporan dan spekulasi bahawa baginda merancang turun takhta, untuk digantikan pemimpin de facto, Putera Mahkota Mohammed.

Raja Salman menjalani pembedahan untuk membuang pundi hempedu pada 2020.

Pada Mac lalu, baginda dimasukkan ke hospital yang digambarkan dalam laporan media sebagai menjalani 'ujian perubatan yang berjaya'. -AFP

Media Baharu