fb fb fb fb fb

Ukraine tunjuk bukti Rusia guna peluru berpandu Korea Utara ke Kharkiv

FOTO REUTERS

UKRAINE, 7 Januari - Pejabat pendakwa wilayah Kharkiv memberikan keterangan lanjut mengenai serangan Rusia ke atas Ukraine berkenaan peluru berpandu yang dibekalkan Korea Utara dengan menunjukkan serpihan itu.

Penasihat kanan Presiden Volodymyr Zelenskiy berkata bahawa Rusia menyerang Ukraine minggu ini dengan peluru berpandu yang dibekalkan Korea Utara.

Jurucakap pejabat pendakwa raya, Dmytro Chubenko pula berkata peluru berpandu itu,
secara visual dan teknikal berbeza daripada model Rusia.

"Kaedah pengeluaran tidak begitu moden. Terdapat penyimpangan daripada peluru berpandu Iskander standard, yang sebelum ini kita lihat semasa serangan ke atas Kharkiv. Peluru berpandu ini serupa dengan salah satu peluru berpandu Korea Utara," kata Chubenko sambil menunjukkan serpihan itu.

Beliau berkata peluru berpandu itu berdiameter sedikit lebih besar daripada peluru berpandu Iskander Rusia, manakala muncungnya, belitan elektrik dalaman dan bahagian belakangnya juga berbeza.

"Itulah sebabnya kami cenderung kepada versi bahawa ini mungkin peluru berpandu yang dibekalkan Korea Utara."

Chubenko enggan memberikan nama model tepat peluru berpandu itu.

Rusia menyerang Kharkiv dengan beberapa peluru berpandu minggu ini, membunuh dua orang dan mencederakan lebih 60 orang dalam salah satu serangan peluru berpandu dan dron terbesar sejak permulaan konflik pada Februari 2022.

Korea Utara berada bawah sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak pertama kali menguji bom nuklear pada 2006. - REUTERS

TETITIA YUSOFF