KYIV, 22 Mac- Pemimpin Ukraine menuduh tentera Rusia melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang tidak bersenjata di bandar selatan Kherson.
Rakaman video menunjukkan penduduk melarikan diri daripada terkena bom tangan dan tembakan berterusan.
"Penjajah (Rusia) menembak orang ramai yang keluar secara aman tanpa senjata untuk memprotes demi kebebasan," kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang mengutuk serangan itu.
Beberapa siri video yang disiarkan di media sosial dan aplikasi Telegram menunjukkan rakyat Ukraine berkumpul di 'Dataran Kebebasan' Kherson, membantah penaklukan Rusia ke atas bandar itu baru-baru ini.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan yang membaluti diri dengan bendera Ukraine melaungkan slogan 'Pulang' dan 'Kegemilangan Ukraine' sebelum bom tangan dilontar ke arah mereka memaksa penunjuk perasaan berkenaan melarikan diri.
(Penunjuk perasaan melaungkan slogan 'pulang' sambil berjalan ke arah kenderaan tentera Rusia yang berundur
pada perhimpunan pro-Ukraine di Kherson/Reuters)
Tentera Rusia dilihat melepaskan beberapa das tembakan ke udara.
Rakaman video menunjukkan sekumpulan individu merawat seorang lelaki warga emas yang cedera teruk di bahagian kaki sebelum membawanya pergi.
Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba menyiarkan video kejadian itu di Twitter.
"Di Kherson, penjenayah perang Rusia melepaskan tembakan ke arah rakyat yang tidak bersenjata yang membantah pencerobohan secara aman.
Ini adalah 'wajah hodoh' Rusia, memalukan manusia, kita mesti hentikan Rusia, sekat mereka, asingkan mereka dan bawa penjenayah perang tersebut ke muka pengadilan," katanya.
Kherson, sebuah bandar dengan hampir 300,000 penduduk menjadi bandar utama Ukraine pertama yang ditawan tentera Rusia pada minggu pertama pencerobohannya. -AFP