fb fb fb fb fb

Pesawat jatuh dari 29,100 kaki ke 7,850 kaki kematian disahkan China Eastern

(Gambar serpihan pesawat yang dijumpai di kawasan pergunungan
di daerah Tengxian, bandar Wuzhou, selatan China/AFP)

GUANGZHOU, 22 Mac- Syarikat penerbangan China Eastern Arilines mengesahkan pesawat yang membawa 132 penumpang dan anak kapal terhempas di satu lereng bukit di kawasan terpencil selatan China, pada Isnin.

Pesawat itu jatuh atau terjunam lebih 20,000 kaki dalam tempoh hanya beberapa minit, menyebabkan kebakaran besar di lokasi nahas.

China Eastern turut mengesahkan kematiaan melibatkan penumpang pesawat Boeing 737-800 yang dalam perjalanan dari bandar Kunming ke selatan Guangzhou, namun tidak memberi butiran lanjut mengenainya.

Presiden Xi Jinping sudah meminta siasatan penuh dijalankan.

Di Guangzhou, kakitangan penerbangan turut membantu waris 123 penumpang dan sembilan anak kapal pesawat yang dilaporkan berhenti menghantar maklumat penerbangan selepas terjunam sehingga 26,000 kaki hanya dalam masa tiga minit sahaja.

Video pesawat terjunam sebelum terhempas turut dilaporkan beberapa media tempatan di China, namun AFP tidak dapat mengesahkan kesahihan video berkenaan.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), pesawat MU5735 yang berlepas dari Kunming pada 1.00 tengah hari semalam terputus hubungan ketika berada di ruang udara sekitar bandar Wuzhou" di wilayah Guangxi.

“Pihak syarikat mengucapkan takziah kepada semua waris penumpang dan kru yang terbunuh dalam nahas udara itu,” menurut kenyataan China Eastern Arilines tanpa penjelasan lanjut punca nahas atau maklumat berkaita lain.

Tragedi terbaru itu mengundang reaksi luar biasa penduduk China dan Presiden Xi berkata dia "amat terkejut" dan mengarahkan siasatan segera punca nahas selian mahu "jaminan keselamatan mutlak" untuk pengangkutan udara, lapor CCTV.

-TERJUNAM DARI UDARA-

Ratusan anggota bomba telah dihantar ke lokasi nahas di daerah Teng dekat Wuzhou, lapor media kerajaan, ketika penduduk kampung berhampiran bergegas membantu usaha menyelamat.

“Semua orang pergi ke kawasan gunung (lokasi nahas),” kata Tang Min seorang penduduk yang mengusahakan restoran tidak jauh dari lokasi nahas kepada wartawan AFP melalui telefon.

Menurut laman sesawang FlightRadar24, pesawat secara mengejut terjunam dari ketinggian 29,100 kaki di udara ke 7,850 kaki (8,870 hingga kira-kira 2,393 meter) dalam masa lebih seminit.

Selepas naik sebentar, pesawat terjunam semula sehingga 3,225 kaki, menurut FlightRadar24 yang turut mengesahkan tiada data penerbangan direkodkan selepas pukul 2.22 petang.

Seorang penduduk kampung memberitahu media tempatan bahawa pesawat tersebut "pecah sepenuhnya" dan turut melihat kawasan hutan musnah akibat kebakaran berpunca daripada nahas tersebut.

Liu, seorang penduduk kampung memberitahu media tempatan, China News Service bahawa dia menunggang motosikal ke lokasi nahas selepas mendengar letupan kuat dan melihat serpihan pesawat bertaburan termasuk sayap pesawat dan pakaian.

China Eastern telah menukar laman sesawang mereka kepada warna hitam dan putih pada petang Isnin.


(Pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi di lokasi nahas pada 21 Mac 2022/AFP)

- WARIS MENANTI BERITA BAHARU-

Di lapangan terbang Guangzhou, kelihatan kakitangan lengkap berpakaian PPE memegang papan tanda mengarahkan waris atau saudara mara ke ruang menunggu yang ditanda dengan skrin hitam tertera perkataan "kecemasan" dan dikawal oleh pegawai dan anggota polis.

Seorang lelaki bernama Ye memberitahu AFP bahawan rakannya berada dalam pesawat malang itu.

"Apabila kami mendengar berita itu... (kami) menghubungi berulang kali selama berjam-jam, tetapi tidak pernah berjaya," kata Ye, yang turut menyatakan telah memaklumkan ibu bapa lelaki tersebut, yang "mengalami emosi sangat kompleks ketika ini".

Kali terakhir, nahas udara melibatkan pesawat penumpang di China, direkodkan pada 2010 apabila 42 daripada 92 orang maut apabila pesawat milik Henan Airlines terhempas ketika menghampiri lapangan terbang Yichuan.

Manakala nahas udara paling tragik berlaku pada 1994 melibatkan syarikat penerbangan China Northwest Airlines membunuh ke semua 160 penumpang dan anak kapal. -AFP

Media Baharu