fb fb fb fb fb

Ukraine tolak lawatan IAEA ke loji nuklear Zaporizhzhia

(Bangunan yang rosak di perkarangan Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia/REUTERS)

KIEV, 7 Jun - Ukraine menentang sebarang lawatan oleh ketua badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke loji nuklearnya di Zaporizhzhia semasa ia berada bawah kawalan Rusia.

Semalam, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Mariano Grossi, berkata agensinya sedang mempersiap misi pakar ke loji nuklear Zaporizhzhia, yang terbesar di Eropah dan kini dikuasai tentera Rusia.

Grossi berkata di Twitter, lawatan itu diatur selepas menerima permintaan daripada pihak berkuasa Ukraine.

Bagaimanapun agensi nuklear Ukraine, Energoatom pada hari Selasa menuduh Grossi berbohong dan berkata ia tidak memberi persetujuan kepada lawatan itu.

(Grossi menyampaikan ucapannya pada pembukaan mesyuarat Lembaga Gabenor di ibu pejabat Agensi di Vienna, Austria/IAEA)

"Ukraine tidak menjemput Grossi untuk melawat loji Zaporizhzhia, malah enggan membenarkan beliau membuat lawatan sedemikian pada masa lalu. Lawatan ke loji itu hanya akan menjadi mungkin apabila Ukraine mengambil alih kawalan tapak itu," tulis Energoatom di Telegram.

"Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi berbohong lagi," kata Energoatom.

"Kami menganggap pengisytiharan IAEA sebagai percubaan baharu untuk mendapatkan akses kepada loji kuasa Zaporizhzhia untuk menghalalkan kehadiran penjajah dan meluluskan tindakan mereka."

Pada 2021, sebelum pencerobohan Rusia terhadap Ukraine loji Zaporizhzhia mewakili 20% daripada pengeluaran elektrik tahunan Ukraine dan hampir separuh daripada semua tenaga nuklear yang dihasilkan di Ukraine.

Tentera Rusia mengawal loji di selatan Ukraine itu pada awal Mac, sejurus selepas pencerobohan Moscow pada 24 Februari. -AFP

Media Baharu