fb fb fb fb fb

Ukraine terus bertindak balas terhadap serangan Rusia

Volodymyr Zelenskiy/ REUTERS

UZHHOROD, 6 September - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menegaskan negara itu akan terus bertindak balas terhadap serangan Rusia ke atas kemudahan tenaga Ukraine, walaupun menerima kritikan daripada Slovakia dan Hungary yang terjejas akibat gangguan bekalan minyak dari Rusia.

Zelenskiy membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan berprofil tinggi pertama dengan Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico di bandar Uzhhorod berhampiran sempadan Slovakia. Kedua-dua pemimpin pernah berselisih pendapat sebelum ini berhubung isu bekalan tenaga Rusia.

Slovakia dan Hungary terus membeli gas dan minyak Rusia meskipun kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) memutuskan hubungan selepas Rusia menceroboh Ukraine pada 2022.

EU kini sedang melabur dalam pembangunan laluan tenaga alternatif. Namun, Slovakia dan Hungary menyatakan laluan baharu itu berdepan cabaran dan kos lebih tinggi.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, penghantaran minyak ke kedua-dua negara tersebut terganggu berikutan serangan Ukraine ke atas saluran paip Druzhba yang menghubungkan Rusia melalui Ukraine sebelum sampai ke Slovakia.

"Ukraine bertindak balas terhadap serangan Rusia ke atas kemudahan tenaga kami, dan kami akan terus berbuat demikian.

"Tetapi kami benar-benar mahu perang ini berakhir. Namun, tiada siapa yang akan duduk dalam gelap dan menanggungnya," kata Zelenskiy pada sidang media bersama Fico, merujuk kepada serangan Rusia terhadap stesen jana kuasa dan infrastruktur tenaga Ukraine.

Fico dalam reaksinya berkata, serangan ketenteraan tetap memberi kesan kepada Slovakia.

"Kita juga perlu mengambil kira kepentingan negara lain yang menjadi sebahagian daripada rangkaian tenaga antarabangsa," kata Fico.

Zelenskiy turut menegaskan Kiev kekal bersedia membekalkan minyak dan gas kepada Slovakia, selagi ia bukan dari Rusia.

Fico sebelum ini mengkritik Ukraine kerana tidak melanjutkan transit gas Rusia selepas kontrak Kiev dengan Rusia tamat pada akhir 2024. Susulan itu, syarikat tenaga Rusia, Gazprom mengubah laluan bekalan yang dihantar ke Slovakia bawah perjanjian jangka panjang.

Fico juga lantang menentang rancangan EU untuk menghentikan secara berperingkat import tenaga Rusia dan pernah menangguhkan pakej sekatan terakhir blok tersebut terhadap Rusia untuk menuntut jaminan agar Slovakia tidak terjejas akibat pemotongan bekalan.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis menggesa pemimpin Eropah menghentikan pembelian minyak Rusia yang menurutnya membantu Moscow membiayai peperangan terhadap Ukraine.

Fico pada Jumaat menegaskan bahawa walaupun terdapat perbezaan pendapat, ruang kerjasama masih luas termasuk dalam sektor tenaga. Beliau turut menyatakan harapan agar Ukraine memperoleh jaminan keselamatan dan menawarkan perkongsian pengalaman Slovakia untuk membantu rundingan kemasukan Ukraine ke dalam EU.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI