KABUL, 5 September - Gempa susulan bermagnitud 6.2 melanda tenggara Afghanistan pada Khamis terus mencetuskan keresahan penduduk di kawasan itu.
Menurut Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ) gempa itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer (6.21 batu).
Gegaran susulan itu selepas siri gempa bumi awal minggu ini yang meragut lebih 2,200 nyawa dan mencederakan lebih 3,600 orang di timur negara itu. Ia turut memusnahkan perkampungan dan menyebabkan puluhan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal.
Gempa pertama bermagnitud 6 yang berlaku Ahad lalu merupakan antara yang paling dahsyat di Afghanistan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ia memusnahkan sebahagian besar wilayah Kunar dan Nangarhar apabila berlaku pada kedalaman cetek iaitu 10 kilometer.
Mangsa yang terselamat kini tinggal tanpa tempat perlindungan dan kumpulan bantuan memberi amaran mengenai kekurangan sumber, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta agensi lain menegaskan keperluan mendesak terhadap bekalan makanan, tempat perlindungan dan bantuan perubatan.
Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Stephane Dujarric berkata, penduduk terjejas di Afghanistan memerlukan bantuan.
"Koordinator bantuan kecemasan Tom Fletcher, menyatakan bahawa gempa bumi yang dahsyat itu sekali lagi mendedahkan kesan pengurangan sumber terhadap kerja kemanusiaan penting.
"Dalam tempoh beberapa jam selepas gempa, Tabung Pooled OCHA membiayai AS$10 juta untuk memulakan tindak balas kecemasan. Pihak berkuasa de facto bertindak pantas dan beberapa negara telah menghulurkan bekalan bantuan serta pembiayaan kritikal.
"Namun, ini masih tidak mencukupi. Fletcher memberi amaran bahawa kegagalan menggerakkan sumber sekarang akan membawa kepada penderitaan lebih mendalam dan lebih banyak kehilangan nyawa," katanya.
Sementara itu, Wakil Tetap UNDP di Afghanistan, Stephen Rodriguez berkata, bantuan segera perlu dilakukan bagi menyelamatkan penduduk terjejas di kawasan gempa.
"Keperluan adalah sangat mendesak. Puluhan ribu keluarga kini tinggal di luar dengan tempat perlindungan sementara dan bimbang akan gempa susulan. Dengan musim sejuk semakin hampir, kita perlu bertindak pantas.
"Kita juga mesti mengambil peluang ini untuk membina semula penempatan dengan lebih baik. Ini memerlukan bukan sahaja bantuan kemanusiaan jangka pendek tetapi juga pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan daya tahan," katanya.
Pengurus Kawasan Serantau UNDP di Afghanistan Anatoly Balovnev berkata, penduduk terjejas tidak berani untuk kembali ke kawasan kediaman masing-masing.
"Keseluruhan komuniti kini hidup di luar rumah. Mereka takut untuk kembali. Lebih 300 tempat perlindungan telah musnah atau rosak, dan secara semula jadi mereka bimbang untuk kembali kerana khuatir gempa akan berlaku lagi.
"Malah, semalam kejadian itu berulang apabila satu lagi gempa kuat atau gempa susulan berlaku, yang menyebabkan kerosakan tambahan dan menggandakan kemusnahan sedia ada," katanya.