LISBON, 6 September - Seramai 16 individu terbunuh termasuk 11 warga asing apabila sebuah tren funikular popular di Lisbon terbabas, menurut pihak berkuasa Portugal pada Jumaat.
Polis memaklumkan, mangsa terdiri daripada tiga warga Britain, dua warga Korea Selatan, dua warga Kanada, seorang wanita Perancis, seorang warga Switzerland, seorang warga Amerika Syarikat dan seorang warga Ukraine, selain lima rakyat Portugal.
Secara keseluruhan, kira-kira 20 individu cedera dan tiada warga Jerman yang terkorban dalam tragedi pada Rabu lalu.
Mangsa warga Portugal antara empat kakitangan sebuah institusi kebajikan sosial yang pejabatnya terletak berhampiran lokasi funikular tersebut beroperasi.
Upacara memperingati mangsa nahas diadakan pada Jumaat di Gereja Sao Roque, Lisbon, dihadiri ahli keluarga, rakan dan rakan sekerja mangsa.
"Saya tidak tahu bagaimana untuk bercerita apabila saya sendiri melihat kanak-kanak sedera bahkan ada yang meninggal dunia. Ketika kejadian ia bergerak laju," kata Bruno Pereira kepada penyiar awam RTP.
Bagaimanapun punca sebenar kemalangan masih belum diketahui.
Agensi Portugal yang bertanggungjawab menyiasat nahas udara dan rel pada mulanya dijadualkan untuk mengeluarkan laporan awal pada Jumaat mengenai insiden tersebut.
Namun, jurucakap agensi berkenaan memaklumkan kepada Agensi Berita Lusa bahawa laporan itu tidak dapat diterbitkan dan hanya akan dikeluarkan pada Sabtu.
Ketua penyiasat polis, Nelson Oliveira berkata, laporan awal yang lebih lengkap dijangka disiapkan dalam tempoh 45 hari.
Dalam sidang media bersama, Ketua Polis Kehakiman Luis Neves berkata, pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan punca.
"Tiada apa yang diketepikan. Kami perlu kekal berfikiran terbuka," katanya.
Spekulasi media tempatan menyebut kemungkinan tali kabel bertegangan tinggi putus atau kerja penyelenggaraan yang dilakukan pengendali pengangkutan awam Lisbon, Carris.
"Berlaku sesuatu yang luar biasa sehingga kabel terputus secara tiba-tiba dan siasatan perlu memberi tumpuan kepada punca itu," kata bekas Presiden Badan Kawal Selia Kejuruteraan Portugal, Carlos Mineiro Aires kepada stesen televisyen SIC.
Ketua Carris, Pedro Bogas berulang kali mempertahankan dasar penyelenggaraan syarikatnya, dengan menegaskan prosedur telah diikuti dengan teliti.
"Kita tidak boleh menganggap masalah berpunca daripada kabel. Itu yang akan ditentukan oleh siasatan," jelasnya.
Media Portugal turut melaporkan pemeriksaan harian yang dijalankan pada pagi hari kejadian menunjukkan sistem operasi berfungsi dengan baik.
Menurut laporan mingguan Expresso, jumlah penumpang yang menggunakan tiga perkhidmatan funikular kendalian Carris di Lisbon meningkat 53 peratus antara 2022 dan 2024 kepada 1.5 juta penumpang tahun lalu, manakala kos penyelenggaraan kekal stabil.
Saksi kejadian memberitahu, salah satu daripada dua gerabak berwarna kuning yang disambungkan melalui sistem kabel penimbang meluncur laju menuruni cerun, tergelincir di selekoh dan merempuh sebuah bangunan.- AFP